MADRASAH MUHAMMADIAH
PONDOK SUNGAI DURIAN, KUALA KRAI, KELANTAN
 
Selamat Datang Pelawat
 
Login
 
 
Sejarah Penubuhan

Pondok Sungai Durian (PSD) atau Madrasah Muhammadiah Pondok Sungai Durian lebih dikenali dengan sebutan Pondok Haji Deraman oleh masyarakat umum, khasnya masyarakat setempat di Kuala Krai. Ianya merupakan pondok termaju di Ulu Kelantan. PSD adalah merupakan pondok terulung dan salah satu pondok yang terus hidup dan berkembang sehingga kini.

PSD adalah satu-satunya pusat pengajian dan pendidikan Islam yang menggabungkan di antara dua aliran iaitu secara tradisional dan moden. Kedua aliran adalah hasil cetusan pemikiran al-Marhum Tuan Guru, walaupun cara ini berbeza dengan sistem pengajian pondok yang telah sedia ada. Tujuan beliau untuk mengatasi masalah pelajar disamping memaju dan memperbaharui lagi pusat pengajian pondok. Perjuangan Tuan Guru tidak terhenti setakat itu sahaja, bahkan diteruskan oleh generasi kedua (anak-anak al-Marhum).

Sistem pondok (tradisional) merupakan sistem pengajian kitab-kitab silam terdiri daripada Ulama’ terkemuka, samada dalam bahasa jawi dan arab, manakala sistem sekolah (moden) pula mengabungkan antara sukatan PSD sendiri dan sukatan pelajaran Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

Pondok ini telah ditubuhkan dengan rasminya pada 4 Jun 1958 Masihi bersamaan 10 Safar 1378 Hijrah oleh al-Marhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Sulaiman. Pendaftaran Pondok ini dibuat di bawah MAIK dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dengan nombor 134 (dalam MAIK), 365/68 (kertas MAIK).

Sebenarnya Pondok ini telah diasaskan di Bukit Enggong, Guchil, Kuala Krai pada tahun 1957. Dibina dengan pertolongan dan bantuan penduduk kampung serta kakitangan Jabatan Perhutanan dengan binaan daripada kayu tanpa mengenakan sebarang bayaran. Hasilnya pembinaan Pondok itu berjalan dengan lancar.

Pada tahun 1958 pondok itu terpaksa dipindahkan dari Bukit Enggong di Guchil ke Kampung Sungai Durian kerana lokasi itu tidak sesuai dengan sistem pengajian pondok, lebih-lebih lagi bilangan pelajar semakin bertambah.

Dulu ianya telah dibina di atas sebidang tanah seluas 4 ekar yang terletak di Sungai Durian sejauh 3 kilometer dari bandar Kuala Krai atau 66 kilometer dari bandar Kota Bharu. Pada peringkat awal hanya mempunyai sebuah bangunan dua tingkat dengan kemudahan asas yang terdiri daripada 2 bilik ruang pejabat dan satu bilik disediakan untuk ruang perpustakaan serta 8 bilik darjah dan kantin.

Tetapi kini PSD telah dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas yang dapat menampung keperluan pelajar-pelajar dan penghuninya. Kawasannya dulu hanya 4 ekar sahaja, kini telah bertambah keluasannya kepada 12 ekar. Hasil daripada pembelian dari jiran-jiran sekitar pondok.
Wakaf Kepada Pondok Sungai Durian