الحمد لله الذي هدانا لخدمة دينه , والتعريف بشريعته , وأفضل الصلاة وأتمّ التسليم على سيدنا محمد وآله وصحبه أجمعين
PENDAHULUAN Kertas ini dikemukakan bertujuan untuk mengenengahkan sejarah dan pengorbanan seorang tokoh yang terbukti berjaya memimpin dan memandu masyarakat ke arah kecemerlangan kehidupan mereka dalam aspek keilmuan dan penghayatan ajaran Islam. Tokoh yang dimaksudkan ialah: Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman pengasas Pondok Sungai Durian Kuala Krai Kelantan. Tuan Guru adalah seorang tokoh yang dikenali dan sangat disegani oleh sebahagian besar masyarakat di negeri ini. Seorang yang mahir dalam pelbagai cabang dan bidang ilmu Islam. Bersifat tabah dan sabar mengahadapi pelbagai mehnah dan halangan. Beliau cukup bersemangat menjalankan tugas dan tanggungjawab mengubah pemikiran jumud masyarakat meskipun terpaksa mengharungi pelbagai kesulitan dan kepayahan. Hasilnya, dapat disaksikan bahawa landskap dan bentuk bumi atau perubahan minda masyarakat sekitar khususnya telah berjaya diubah menjadi bersih dan ceria dengan amalan-amalan yang menjurus ke arah kebaikan dan kebajikan. Di samping itu Tuan Guru melalui institusi pengajian pondok yang diasas dan dipertahankannya maka lahirlah ramai tokoh-tokoh agama dan ilmuan Islam yang berjaya dalam pelbagai bidang tugas dan kerjaya, bukan sahaja bidang agama, malah politik dan juga perniagaan. SEJARAH HIDUP TUAN GURU HAJI ABDUL RAHMAN 1. KETURUNAN DAN LATAR BELAKANG KELUARGA Nama penuh beliau Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman. Beliau lebih dikenali dengan panggilan “Ayah Haji”. Ayahnya Sulaiman Bin Kecik Bin Isa Bin Che Had. Emaknya Che Mek @ Salamah binti Hamat. Perkongsian hidup antara Lebai Sulaiman dengan isterinya, mereka dianugerahkan sembilan orang cahaya mata. Tuan Guru merupakan anak ketiga daripada sembilan adik beradik. Beliau dilahirkan di kampung Kenor, jajahan Kuala Krai, Kelantan pada tahun 1923M. Lebai Sulaiman iaitu ayah kepada Tuan Guru Haji Abdul Rahman berasal dari Kampung Keluat. Ia ter1etak di seberang Sungai Kelantan bersetentangan dengan Tangga Krai yang ada sekarang. Beliau dan keluarganya telah berpindah ke Kampung Guchil Lama, Kuala Krai. Tidak lama selepas itu beliau berpindah ke Kampung Sentul Lima, Machang. Dan kemudiannya beliau bersama keluarganya berpindah pula ke Kampung Dendang, Ketereh. Beliau meninggal dunia dan dikebumikan di sana. Beliau seorang tokoh agama yang berwibawa dan seorang qari yang baik bacaannya yang lebih dikenali dengan pangilan Tok Lebai Pak Da Sulaiman, Beliau pernah mendapat didikan agama secara formal di institusi pondok di Patani. Beliau juga berkebolehan membaca kitab-kitab jawi tetapi tidak boleh menguasai bahasa Arab. Semasa hayatnya setiap kali berpindah dan memulakan kehidupan di tempat baru, beliau mendirikan sebuah balaisah.